KENYATAAN MEDIA: AMANAT LEBUHRAYA RAKYAT BERHAD (“ALR”) MENYUMBANGKAN RM216,000 UNTUK PROGRAM PENAJAAN BANTUAN MAKANAN KEPADA PELAJAR DI EMPAT SEKOLAH
Puchong, 2 April 2024 – ALR telah melancarkan Program Penajaan Bantuan Makanan kepada empat (4) buah sekolah hari ini, dalam satu kolaborasi bersama Yayasan MyKasih. ALR telah memperuntukkan sebanyak RM216,000.00 bagi program selama setahun ini, yang akan memberi manfaat kepada dua ratus (200) orang pelajar dari keluarga berpendapatan rendah merangkumi dua (2) sekolah rendah dan dua (2) sekolah menengah yang terletak di sepanjang jajaran lebuhraya kumpulan ALR.
Empat (4) sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan Asli Bukit Kemandol, Bandar Saujana Putra Jenjarom (Lebuhraya KESAS) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Castlefield, Puchong (Lebuhraya Damansara-Puchong), Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai, Kerinchi (Lebuhraya SPRINT) and Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Pudu (Lebuhraya SMART).
Di bawah Program Penajaan Bantuan Makanan ini, seramai seratus (100) pelajar sekolah rendah dan seratus (100) pelajar sekolah menengah dari kalangan keluarga berpendapatan rendah, akan menerima elaun bulanan berjumlah RM80 dan RM100 setiap seorang masing-masing. Elaun-elaun bulanan ini akan diurus dan diagihkan oleh Yayasan MyKasih bermula dari Mac 2024 hingga Februari 2025.
Melalui kerjasama dengan Yayasan MyKasih, elaun bulanan tersebut akan didepositkan ke MyKad pelajar atau kad pintar MyKasih menerusi sistem MyKasih. Ianya membolehkan para pelajar mengeluarkan elaun tersebut dengan menggunakan MyKad atau kad pintar MyKasih mereka untuk pembayaran tanpa tunai bagi setiap pembelian di kantin atau kedai buku sekolah masing-masing.
Program Penajaan Bantuan Makanan ini selaras dengan Rangka Sukuk Kelestarian ALR (”ALR’s Sustainability Sukuk Framework”) yang komited kepada pembangunan dan pemerkasaan sosioekonomi. Program ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari PBB (“UN Sustainable Development Goals”), nombor 2, Sifar Kelaparan dan nombor 4, iaitu Pendidikan Berkualiti.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ALR, En. Sazally bin Saidi, “Menerusi Program Penajaan Bantuan Makanan ini, pelajar tidak lagi perlu bimbang tentang makanan harian sekolah serta kelengkapan alat pembelajaran mereka. Ini seharusnya membolehkan mereka untuk memberi tumpuan kepada pelajaran masing-masing dan terus kekal bersekolah, di samping turut membantu meringankan bebanan keluarga.”
Beliau menambah, “Program ini adalah lanjutan daripada matlamat dan nilai impak sosial ALR. Di samping penjimatan yang terus dihasilkan untuk pengguna lebuhraya dan pihak Kerajaan melalui struktur unik ALR yang tidak berasaskan keuntungan, ALR juga terus tekad memberi impak positif kepada komuniti sekitar melalui program seumpama ini. Kami berharap agar giat menyumbang kepada lebih banyak program seperti ini pada masa hadapan.
– Tamat –