AMANAT LEBUHRAYA RAKYAT BERHAD (”ALR”) RAI IFTAR MALAM PENGHARGAAN PENGAMAL MEDIA DAN SANTUNI ANAK-ANAK DARI PUSAT JAGAAN DARUL SAKINAH ANGKASA
Puchong, 3 April 2024 – Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, seramai 20 anak-anak yatim dan asnaf dan lebih kurang 80 pengamal media diraikan dengan bufet Iftar Ramadhan semasa ’Buka Puasa’ Malam Penghargaan Media yand dianjurkan oleh Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad bertempat di Glam Hall Damansara, Petaling Jaya.
Objektif majlis adalah sebagai tanda penghargaan ALR terhadap jasa para pengamal media di Malaysia yang sentiasa menyokong Kumpulan ALR, di samping mengiktiraf peranan penting mereka dalam meningkatkan pemahaman dan kesedaran masyarakat tentang keunikan struktur dan nilai sosial ALR.
Semasa ucapan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ALR, En. Sazally bin Saidi, beliau menghuraikan ciri-ciri kebaikan struktur ALR, iaitu tiada kenaikan kadar tol sehingga tamat konsesi, serta penjimatan kepada pengguna lebuhraya dan penjimatan bayaran pampasan tol oleh Kerajaan. Jumlah penjimatan bagi para pengguna lebuh raya dan penjimatan bayaran pampasan tol oleh Kerajaan dianggarkan sebanyak RM800 juta – RM 1 billion setahun. Sejajar dengan ini, beliau memaklumkan bahawa sehingga 31 Mac 2023, dianggarkan sebanyak RM487.6 juta penjimatan kepada pengguna dan RM487.6 penjimatan bayaran pampasan tol oleh Kerajaan telah diperolehi dari struktur innovatif ALR.
ALR juga turut mengambil peluang semasa majlis ini untuk menjemput dan menyantuni anak- anak dari Pusat Jagaan Darul Sakinah Angkasa, Damansara di mana mereka telah menerima sumbangan berupa pakaian Hari Raya bernilai RM180 dan ’duit raya’ RM50 setiap seorang bagi membantu memenuhi keperluan masing-masing menjelang perayaan Hari Raya yang bakal tiba. Di samping itu, ALR juga menyampaikan sumbangan kepada Pusat Jagaan Darul Sakinah Angkasa bagi membantu keperluan operasi mereka dan meringankan bebanan kewangan pusat jagaan tersebut.
Menurut En. Sazally bin Saidi, “Sambil kita meraikan dan menghargai rakan-rakan media pada malam ini, kami juga merasakan adalah penting untuk mengingati dan berkongsi rezeki bersama kelompok komuniti yang kurang bernasib baik, terutamanya semasa bulan Ramadhan yand barakah ini. Kami berharap ianya dapat memberi lebih perhatian dan sokongan kepada Pusat Jagaan Darul Sakinah, serta mengukir senyuman serta keceriaan untuk anak-anak menjelang Syawal pada tahun ini”.
Beliau menambah, ”Program ini merupakan sebahagian dari inisiatif pelaburan komuniti di mana ianya selari dengan nilai dan tujuan sosial impak ALR. Selain daripada penjimatan yang dijanakan dari struktur unik ALR yang tidak berlandaskan keuntungan kepada pengguna dan Kerajaan – adalah menjadi matlamat kami untuk terus memberi impak positif kepada komuniti di mana kami beroperasi, menerusi program-program seperti ini dan Program Penajaan Bantuan Makanan kepada pelajar yang baru dilancarkan semalam.”
Dalam ucapan penutupnya, Sazally telah menarik perhatian semua tentang kepentingan keselamatan jalanraya dan menekankan, ”Sempena cuti hari raya ini, disarankan agar semua pengguna lebuh raya merancang perjalanan dan mengelak daripada bergerak pada waktu puncak. Pastikan mendapat rehat yang cukup ketika pemanduan jarak jauh. Sentiasa mengutamakan keselamatan serta keselesaan pemanduan ketika di jalan raya”
– Tamat –