KENYATAAN MEDIA : KUMPULAN AMANAT LEBUHRAYA RAKYAT BERHAD SUMBANG TIGA KENDERAAN RONDAAN PROTON X70 KEPADA POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM)
Kuala Lumpur, 5 April 2024 – Kumpulan Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (”ALR”) pada hari ini telah menyumbangkan tiga (3) unit kenderaan rondaan kepada pihak PDRM bagi mempertingkatkan tahap pemantauan trafik dan keselamatan pengguna di keempat-empat lebuh raya di bawah kendalian Kumpulan ALR di Lembah Klang. Majlis penyerahan kenderaan-kenderaan ini kepada Yang Dihormati Tan Sri Dato’ Sri Razaruddin Bin Husain, Ketua Polis Negara, telah disampaikan oleh En. Sazally bin Saidi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ALR, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Kenderaan rondaan baru ini bakal membantu Unit Expressway Mobile Police Vehicle (EMPV) di bawah seliaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT) untuk mengadakan rondaan lebih efisien di lebuh raya bagi memastikan perjalanan pengguna lebih selamat dan selesa.
En. Sazally bin Saidi, dalam kenyataan kepada media, memaklumkan bahawa Pasukan EMPV Lebuhraya SPRINT, LDP dan Lebuhraya KESAS kini mengawal selia anggaran jumlah 1 juta trafik harian bertol, dan hampir jumlah 3.5 juta trafik di kawasan tidak bertol di Lebuhraya SPRINT, Lebuhraya Damansara-Puchong and Lebuhraya KESAS. Oleh yang demikian, keberkesanan aspek penguatkuasaan dan kawalan lalu lintas menuntut kerjasama yang erat di antara Kumpulan ALR dan pihak PDRM.
Beliau seterusnya menambah bahawa sumbangan kenderaan-kenderaan peronda itu adalah selaras dengan sokongan berterusan Kumpulan untuk inisiatif-inisiatif keselamatan jalan raya PDRM, dan juga untuk mengiktiraf kerjasama lama antara kedua-dua pihak. Antara 1996 dan 2024, sejumlah 40 kenderaan dengan jumlah nilai RM3.12 juta, telah disumbangkan oleh lebuh raya di bawah kendalian Kumpulan ALR, kepada PDRM.
Akhirnya, En. Sazally merakamkan penghargaan ikhlas Kumpulan atas sokongan PDRM selama ini, dan mengulangi komitmen ALR untuk menyediakan perjalanan yang selamat dan menyenangkan untuk semua para pengguna lebuhraya, bersama- sama dengan PDRM.
– Tamat –